Skip to main content
Syurga Buatmu
  • Blog
  • Gallery
  • About
  • Refleksi diri

Teks Pengucapan Awam - Penerokaan Khazanah Hutan Negara Antara Laba dan Bala

April 22, 2015 at 2:33 pm, No comments

INDAH BERBALAM SI AWAN PETANG,

BERARAK DI CELAH PEPOHON ARA;

PEMANIS KALAM SELAMAT DATANG,

AWAL BISMILLAH PEMBUKA BICARA…

 

Bismillahirahmannirahim hadirin dan hadirat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi.

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya kemari. Bukan kerana ingin berbangga diri, tetapi untuk membawa anda semua memahami, menyelami dan mendalami mauduk bicara yang berbunyi PENEROKAAN KHAZANAH HUTAN NEGARA ANTARA LABA DAN BALA.

Sekalung apisiarsi saya hulurkan buat saudara pengerusi, kombinasi interlektual kehakiman bervisi, dif-dif kehormat yang disanjungi, seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi dekat di hati. Assalamualaikum W.B.T dan selamat sejahtera buat anda yang sudi melapangkan masa. Apa khabar penutur bahasa melayu tercinta.

 

Warga dewan yang saya sanjungi,

     Tahukah kita bahawa penerokaan merupakan sebuah penjelajahan yang biasanya dilakukan oleh manusia diatas beberapa faktor. Khazanah pula merupakan sebuah kekayaan atau warisan yang dimiliki oleh setiap Negara di dunia ini. Hutan adalah rimba yang biasanya masih terpelihara oleh sebarang penerokaan atau kemajuan dan menyimpan pelbagai warisan Negara. Laba merupakan sebuah keuntungan dan bala pula kerugian yang akan ditanggung oleh pihak tertentu.

     Malaysia merupakan sebuah Negara yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Biodiversiti atau kepelbagaian biologi adalah variasi pelbagai bentuk ke­hidupan yang ada di bumi ini. Kedudukan Malaysia di kawasan tropika lembab telah menjadikan landskap negara ini berwarna-warni dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Landskap ini yang juga dikenali umum sebagai Hutan Hujan Tropika yang berevolusi sejak berjuta-juta tahun dahulu merupakan sebuah gedung-mega simpanan kepelbagaian biologi flora dan fauna. Tetapi adakah kita sedari bahawa hutan yang menjadi kebanggaan Negara kita kini kian pupus dek kerakusan manusia.

     Para saintis menganggarkan dunia ini menyimpan khazanah biodiversiti melebihi 100 juta spesis dan setakat ini hanya lebih kurang 1.4 juta sahaja yang telah dikenal pasti. Bayangkan sekiranya penerokaan khazanah hutan Negara ini berterusan dan tidak dikawal. Ia akan meninggalkan kesan dan impak yang negatif kepada atmosfera kita. Biodiversiti hutan yang stabil mampu membekalkan sumber perkhidmatan kesihatan melalui kepelbagaian etnobotani. Kebanyakan ubat-ubatan yang wujud pada hari ini adalah merupakan sumbangan besar daripada biodiversiti hutan tropika. Tetapi jika semua tumbuhan ini musnah dek kerakusan manusia demi kepentingan mereka snediri, Negara kita juga akan mengalami kerugian yang amat besar. Hal ini kerana industri herba dalam pasaran global berjaya memperolehi keuntungan bersih kira-kira USD 80 bilion. Suatu kehilangan yang besar jika semua tumbuhan herba ini musnah. Oleh itu, Negara kita akan menanggung kerugian yang amat besar dan ekonomi Negara akan terjejas.

     Pecinta bahasa sekalian,

     Dapatkah kita bayangkan sekiranya Negara kita gondol tanpa sebarang hutan kerana telah diterokai oleh pembalak-pembalak haram dan aktiviti yang mereka lakukan tanpa kawalan oleh pihak berkuasa. Negara kita berisiko mengalami bencana-bencana alam seperti banjir kilat, aliran lumpur dan tanah runtuh. Kita dapat lihat daripada pembalakan tanpa kawalan yang berlaku di Cameron Highland dan menyebabkan struktur tanah disana tidak kukuh. Selain itu, penerokaan hutan di Negara kita juga akan menyebabkan ketidakstabilan cuaca dan keadaan ini akan menyebabkan hutan-hutan di Negara ini terbakar akibat kepanasan terlampau yang berlaku. Fenomena ini telah berlaku di Dungun, Terengganu pada tahun 2014 dan cuaca panas yang berpanjangan ini menyebabkan kawasan terbakar merebak daripada 20 hektar meningkat berganda kepada 300 hektar. Jelaslah disini bahawa kerakusan manusia itu sendiri mampu mengundang bencana alam yang bakal memusnahkan segalanya.

    

     Tahukah kita bahawa Negara ini merupakan sebuah Negara yang mempunyai pelbagai spesies endemik dan Malaysia adalah diantara 12 buah Negara megadiversiti di dunia. Sekiranya spesies ini pupus kerana penerokaan hutan tanpa memantauan pihak berkuasa, maka Negara kita akan kehilangan warisan yang amat berharga kerana spesies itu hanya terdapat di Malaysia. Hutan yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia akan musnah dan keindahan biodiversiti yang menjadi tarikan para pelancong asing juga akan musnah, apa lagi yang akan kita tinggal untuk generasi muda akan datang?

 

     Disebalik bala yang kita alami disebabkan penerokaan khazanah hutan Negara ini, terdapat juga laba yang kita perolehi daripadanya. Penerokaan khazanah hutan juga akan mendatangkan kebaikan sekiranya ianya dapat dikawal. Penerokaan kawasan-kawasan pendalaman mampu memajukan Negara sejajar  dengan Negara kita yang dikenali sebagai Negara keenam yang berdaya saing di kalangan Negara Asia Pasifik. Sesebuah kawasan itu perlu diterokai bagi membangunkan Negara seiring dengan Negara-negara maju yang lain seperti Singapura, Australia dan Hong Kong. Keuntungan yang Negara kita perolehi akan meningkatkan ekonomi Negara seterusnya membantu untuk pembangunan Negara ini. oleh itu, tidak semua penerokaan hutan itu membawa kepada kemusnahan, tetapi ia juga mendatangkan keuntungan kepada Negara kita.

 

Hadirin yang segak bergaya sekalian,

 

     Negara kita memperolehi keuntungan daripada penerokaan khazanah hutan melalui pembinaan-pembinaan kilang dan syarikat-syarikat besar di kawasan tersebut. Pertumbuhan syarikat-syarikat ini akan menambahkan pendapatan Negara dengan penglibatan pelabur-pelabur asing. Pengaliran masuk wang asing ini akan meningkatkan ekonomi Negara kita, jadi tidak salahlah jika hutan di Negara ini diterokai dengan syarat aktiviti ini dikawal oleh pihak berkuasa. Dengan ini, Malaysia akan menjadi sebuah Negara yang maju dan membangun seiring dengan Negara maju yang lain dan mampu mencapai wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991.

 

Para hadirin dan hadirat sekalian, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, akhirnya, walaupun Negara kita terhimpit oleh kemerosotan ekonomi, walaupun Negara ini kekurangan kawasan untuk dibangunkan, janganlah sesekali kita memusnahkan khazanah hutan Negara ini yang menjadi kebanggaan kita hanya disebabkan oleh kemahuan yang mementingkan diri sendiri. Ingatlah wahai manusia, peliharalah khazanah hutan Negara kita.

 

Tuhanku kamu tolonglah hantarkan kepadanya generasi tuk jaganya bilaku tiada,

Lindungi dia daripada mereka yang ingin… memusnahkannya.

 

Sekian sahaja, walbillahiwaltaufiqwalhidayah, assalamualaikum.

 

No comments

Leave a reply







Recent Posts

  • Teks Pengucapan Awam - Penerokaan Khazanah Hutan Negara Antara Laba dan Bala
    22 Apr, 2015
  • "EGO"
    7 Apr, 2015
  • Buat seorang insan
    7 Apr, 2015
  • Buat seorang insan
    22 Feb, 2015
  • Nikmat Tangisan
    31 Jan, 2015
  • Takdir Cinta Kita (cerpen)
    30 Jan, 2015
  • kacamata kita
    30 Jan, 2015
Created with Mozello - the world's easiest to use website builder.

Create your website or online store with Mozello

Quickly, easily, without programming.

Report abuse Learn more