Skip to main content
Syurga Buatmu
  • Blog
  • Gallery
  • About
  • Refleksi diri

Teks Pengucapan Awam - Penerokaan Khazanah Hutan Negara Antara Laba dan Bala

22 Apr, 2015, No comments

INDAH BERBALAM SI AWAN PETANG,

BERARAK DI CELAH PEPOHON ARA;

PEMANIS KALAM SELAMAT DATANG,

AWAL BISMILLAH PEMBUKA BICARA…

 

Bismillahirahmannirahim hadirin dan hadirat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi.

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya kemari. Bukan kerana ingin berbangga diri, tetapi untuk membawa anda semua memahami, menyelami dan mendalami mauduk bicara yang berbunyi PENEROKAAN KHAZANAH HUTAN NEGARA ANTARA LABA DAN BALA.

Sekalung apisiarsi saya hulurkan buat saudara pengerusi, kombinasi interlektual kehakiman bervisi, dif-dif kehormat yang disanjungi, seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi dekat di hati. Assalamualaikum W.B.T dan selamat sejahtera buat anda yang sudi melapangkan masa. Apa khabar penutur bahasa melayu tercinta.

 

Warga dewan yang saya sanjungi,

     Tahukah kita bahawa penerokaan merupakan sebuah penjelajahan yang biasanya dilakukan oleh manusia diatas beberapa faktor. Khazanah pula merupakan sebuah kekayaan atau warisan yang dimiliki oleh setiap Negara di dunia ini. Hutan adalah rimba yang biasanya masih terpelihara oleh sebarang penerokaan atau kemajuan dan menyimpan pelbagai warisan Negara. Laba merupakan sebuah keuntungan dan bala pula kerugian yang akan ditanggung oleh pihak tertentu.

     Malaysia merupakan sebuah Negara yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Biodiversiti atau kepelbagaian biologi adalah variasi pelbagai bentuk ke­hidupan yang ada di bumi ini. Kedudukan Malaysia di kawasan tropika lembab telah menjadikan landskap negara ini berwarna-warni dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Landskap ini yang juga dikenali umum sebagai Hutan Hujan Tropika yang berevolusi sejak berjuta-juta tahun dahulu merupakan sebuah gedung-mega simpanan kepelbagaian biologi flora dan fauna. Tetapi adakah kita sedari bahawa hutan yang menjadi kebanggaan Negara kita kini kian pupus dek kerakusan manusia.

     Para saintis menganggarkan dunia ini menyimpan khazanah biodiversiti melebihi 100 juta spesis dan setakat ini hanya lebih kurang 1.4 juta sahaja yang telah dikenal pasti. Bayangkan sekiranya penerokaan khazanah hutan Negara ini berterusan dan tidak dikawal. Ia akan meninggalkan kesan dan impak yang negatif kepada atmosfera kita. Biodiversiti hutan yang stabil mampu membekalkan sumber perkhidmatan kesihatan melalui kepelbagaian etnobotani. Kebanyakan ubat-ubatan yang wujud pada hari ini adalah merupakan sumbangan besar daripada biodiversiti hutan tropika. Tetapi jika semua tumbuhan ini musnah dek kerakusan manusia demi kepentingan mereka snediri, Negara kita juga akan mengalami kerugian yang amat besar. Hal ini kerana industri herba dalam pasaran global berjaya memperolehi keuntungan bersih kira-kira USD 80 bilion. Suatu kehilangan yang besar jika semua tumbuhan herba ini musnah. Oleh itu, Negara kita akan menanggung kerugian yang amat besar dan ekonomi Negara akan terjejas.

     Pecinta bahasa sekalian,

     Dapatkah kita bayangkan sekiranya Negara kita gondol tanpa sebarang hutan kerana telah diterokai oleh pembalak-pembalak haram dan aktiviti yang mereka lakukan tanpa kawalan oleh pihak berkuasa. Negara kita berisiko mengalami bencana-bencana alam seperti banjir kilat, aliran lumpur dan tanah runtuh. Kita dapat lihat daripada pembalakan tanpa kawalan yang berlaku di Cameron Highland dan menyebabkan struktur tanah disana tidak kukuh. Selain itu, penerokaan hutan di Negara kita juga akan menyebabkan ketidakstabilan cuaca dan keadaan ini akan menyebabkan hutan-hutan di Negara ini terbakar akibat kepanasan terlampau yang berlaku. Fenomena ini telah berlaku di Dungun, Terengganu pada tahun 2014 dan cuaca panas yang berpanjangan ini menyebabkan kawasan terbakar merebak daripada 20 hektar meningkat berganda kepada 300 hektar. Jelaslah disini bahawa kerakusan manusia itu sendiri mampu mengundang bencana alam yang bakal memusnahkan segalanya.

    

     Tahukah kita bahawa Negara ini merupakan sebuah Negara yang mempunyai pelbagai spesies endemik dan Malaysia adalah diantara 12 buah Negara megadiversiti di dunia. Sekiranya spesies ini pupus kerana penerokaan hutan tanpa memantauan pihak berkuasa, maka Negara kita akan kehilangan warisan yang amat berharga kerana spesies itu hanya terdapat di Malaysia. Hutan yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia akan musnah dan keindahan biodiversiti yang menjadi tarikan para pelancong asing juga akan musnah, apa lagi yang akan kita tinggal untuk generasi muda akan datang?

 

     Disebalik bala yang kita alami disebabkan penerokaan khazanah hutan Negara ini, terdapat juga laba yang kita perolehi daripadanya. Penerokaan khazanah hutan juga akan mendatangkan kebaikan sekiranya ianya dapat dikawal. Penerokaan kawasan-kawasan pendalaman mampu memajukan Negara sejajar  dengan Negara kita yang dikenali sebagai Negara keenam yang berdaya saing di kalangan Negara Asia Pasifik. Sesebuah kawasan itu perlu diterokai bagi membangunkan Negara seiring dengan Negara-negara maju yang lain seperti Singapura, Australia dan Hong Kong. Keuntungan yang Negara kita perolehi akan meningkatkan ekonomi Negara seterusnya membantu untuk pembangunan Negara ini. oleh itu, tidak semua penerokaan hutan itu membawa kepada kemusnahan, tetapi ia juga mendatangkan keuntungan kepada Negara kita.

 

Hadirin yang segak bergaya sekalian,

 

     Negara kita memperolehi keuntungan daripada penerokaan khazanah hutan melalui pembinaan-pembinaan kilang dan syarikat-syarikat besar di kawasan tersebut. Pertumbuhan syarikat-syarikat ini akan menambahkan pendapatan Negara dengan penglibatan pelabur-pelabur asing. Pengaliran masuk wang asing ini akan meningkatkan ekonomi Negara kita, jadi tidak salahlah jika hutan di Negara ini diterokai dengan syarat aktiviti ini dikawal oleh pihak berkuasa. Dengan ini, Malaysia akan menjadi sebuah Negara yang maju dan membangun seiring dengan Negara maju yang lain dan mampu mencapai wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991.

 

Para hadirin dan hadirat sekalian, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, akhirnya, walaupun Negara kita terhimpit oleh kemerosotan ekonomi, walaupun Negara ini kekurangan kawasan untuk dibangunkan, janganlah sesekali kita memusnahkan khazanah hutan Negara ini yang menjadi kebanggaan kita hanya disebabkan oleh kemahuan yang mementingkan diri sendiri. Ingatlah wahai manusia, peliharalah khazanah hutan Negara kita.

 

Tuhanku kamu tolonglah hantarkan kepadanya generasi tuk jaganya bilaku tiada,

Lindungi dia daripada mereka yang ingin… memusnahkannya.

 

Sekian sahaja, walbillahiwaltaufiqwalhidayah, assalamualaikum.

 

"EGO"

7 Apr, 2015, No comments
Kenapa perlu ada sikap ego sekiranya kita bukan yang terbaik dikalangan mereka? Manusia sememangnya tidak pernah lari daripada sifat itu, tetapi kita perlu bijak mengawalnya. Ego bukan untuk dilepaskan ketika marah atau hanya ingin memuaskan hati sendiri. Tetapi ego akan mengajar kita untuk bersikap rendah diri jika kita mampu mengawalnya. Wahai hamba Allah sekalian, sebagai seorang muslim, kita sepatutnya meletakkan sikap ego itu pada tahap yang paling rendah supaya ia tidak dapat menandingi sikap mulia yang lain.

Buat seorang insan

7 Apr, 2015, No comments
Mungkin takdir-Nya dulu aku mencintaimu wahai kekasih dan mungkin juga khilafku kerana mempercayaimu. Tetapi sekarang aku sedar bahawa semua itu ujian-Nya untuk diriku yang lemah ini. Ya Allah, seandainya dulu aku lalai kerana lebih mencintai hamba-Mu lebih dari diri-Mu, maafkanlah aku dan kini aku bersyukur kerana Engkau mengambil hatiku kembali kepada-Mu. Engkau juga telah menyedarkan aku bahawa manisnya mencintai-Mu jauh lebih baik daripada mencintai hamba-Mu yang cintanya itu tidak akan kekal tanpa izin-Mu. Duhai hamba Allah yang pernah bertahta dihatiku, maafkan aku jika dulu aku pernah menyakiti hatimu, maafkan aku kerana tidak dapat setia dengamu. Aku sedar sekarang bahawa tiada cinta sehebat cinta Rasulullah kepada umat-Nya dan cinta Allah kepada hamba-Nya. Ampuni aku duhai kekasih hati, aku sekarang telah menjumpai menggantimu yang kekal abadi dan ada denganku dikala aku susah dan senang, diwaktu aku suka dan duka dan sentiasa menjagaku. Terima kasih kepadamu kerana dulu pernah membahagiakanku walaupun hanya seketika. Pemergianmu mengajarku erti ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan-Nya dan redha dalam setiap ujian yang Allah beri.

Buat seorang insan

22 Feb, 2015, No comments
Mungkin takdir-Nya dulu aku mencintaimu wahai kekasih dan mungkin juga khilafku kerana mempercayaimu. Tetapi sekarang aku sedar bahawa semua itu ujian-Nya untuk diriku yang lemah ini. Ya Allah, seandainya dulu aku lalai kerana lebih mencintai hamba-Mu lebih dari diri-Mu, maafkanlah aku dan kini aku bersyukur kerana Engkau mengambil hatiku kembali kepada-Mu. Engkau juga telah menyedarkan aku bahawa manisnya mencintai-Mu jauh lebih baik daripada mencintai hamba-Mu yang cintanya itu tidak akan kekal tanpa izin-Mu. Duhai hamba Allah yang pernah bertahta dihatiku, maafkan aku jika dulu aku pernah menyakiti hatimu, maafkan aku kerana tidak dapat setia dengamu. Aku sedar sekarang bahawa tiada cinta sehebat cinta Rasulullah kepada umat-Nya dan cinta Allah kepada hamba-Nya. Ampuni aku duhai kekasih hati, aku sekarang telah menjumpai menggantimu yang kekal abadi dan ada denganku dikala aku susah dan senang, diwaktu aku suka dan duka dan sentiasa menjagaku. Terima kasih kepadamu kerana dulu pernah membahagiakanku walaupun hanya seketika. Pemergianmu mengajarku erti ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan-Nya dan redha dalam setiap ujian yang Allah beri.

Nikmat Tangisan

31 Jan, 2015, No comments
     Wahai anak cucu Adam, bersyukurlah jika kamu masih mampu mengalirkan air mata walaupun setitis. Ingatlah, air mata yang mengalir itu suatu petanda bahawa masih ada kelembutan di dalam hatimu. Setiap insan di dunia ini tiada yang sempurna, tetapi tak salah jika kita menangis. Mengapa harus malu untuk menangis? Mengapa harus malu untuk mengalirkan butiran mutiara yang suci itu? Allah swt telah mencipta kita dengan perasaan gembira dan sedih. Tak salah jika kita bersedih sekali sekala.
     Tak semua manusia yang menangis itu lemah, tetapi harus kita ingat suatu perkara. Manusia yang pernah menangis itu akan lebih kuat dan tabah berbanding mereka yang tidak menangis sewaktu kejatuhannya. Ya Allah, betapa besarnya nikmat yang Engkau berikan kepada hamba-Mu ini. Setitis air mata itu memberikan sejuta kekuatan kepada kami, kesedihan yang diberikan menjanjikan kebahagiaan di hari kemudian. Andai kamu semua rebah saat ujian itu datang, maka tadahlah tanganmu dan berdoa kepada-Nya. Hanya Allah swt yang mempu memberikan kekuatan kepada kita.
     Oleh itu, menangislah wahai hamba Allah yang bertuah. Allah swt tidak pernah menghina hamba-Nya yang menangis kerana kadangkala tangisan itu adalah sebuah keinsafan yang hadir dalam diri manusia di muka bumi ciptaan-Nya ini.

Takdir Cinta Kita (cerpen)

30 Jan, 2015, 12 comments

TAKDIR CINTA KITA

Aisya duduk beralaskan pasir sambil memeluk tubuh. Sepoi-sepoi semilir angin laut menerjah sopan ke tubuhnya. Tidak semena-mena, fikirannya  mengingati perkara yang menimpanya. Walaupun lama berlalu, tetapi masih segar di dalam ingatannya. Beberapa hari yang lalu aku ditemukan dengan Reza di sebuah café. Hinaan Reza yang telah melukakan hatinya masih berdarah.

  “ Kenapa awak buat saya macam ni Reza, apa salah saya pada awak.” Keluhan Aisya tiada siapa yang mengerti. Ujian yang diberikan amat berat untuk ditanggungnya sendirian.

   Air matanya terus mengalir bagaikan air sungai yang sangat deras apabila teringat semula pertemuan antara dia dan Reza yang disangka membawa kegembiraan, tetapi sebaliknya. Reza yang disangka dulu benar-benar mencintainya sepenuh hati rupa-rupanya hanya lakonan. Tiba-tiba Aisya disergah oleh Balqis dan sergahan itu telah mengembalikan Aisya ke alam nyata.

  “ Termenung jauh nampak. Apa yang kau fikirkan lagi?” tanya Balqis.

  “ Ish kau ni, janganlah sergah macam ni, terkejut aku dibuatnya.”

  “ Abis tu aku panggil kau dari tadi tapi tak jawab, aku sergah jelah. Apa yang kau fikir lagi, Reza? “ tanya Balqis lagi. Balqis sudah tahu akan masalah rakannya itu dengan Reza termasuklah pertemuannya bersama Reza dan Azleen tempoh hari.

  Aisya Hanya mampu mengangguk tanpa bicara. Jika dijawab pertanyaan Balqis pasti akan dibebelnya.

  “ Kau ni kan, dah berapa kali aku nasihatkan kau, jangan fikirkan dia lagi. Dia dah malukan kau pun kau masih boleh fikir dia lagi? Sedarlah apa yang dia dah buat kat kau.” Bebel Balqis.

  “ Tiga tahun Qis, tiga tahun aku bertunang dengan dia. Susah senang aku dengan dia, terlalu banyak kenangan aku dan dia. Bukan mudah untuk aku lupakan dia Qis. Dia dah jadi sebahagian dari diri aku. Lagi satu, kenapa kawan aku yang merampas kebahagiaan yang bakal aku kecapi.. Azleen pun dah tahu yang aku dan Reza dah tunang dan bakal berkahwin, tapi.. ” jelasku.

   “ Dahlah Sya, jangan fikir lagi. Mulakan hidup baru, lupakan masa silam kau, buka buku baru. Hari tu ada surat tawaran sampai kan? Pergilah belajar, teruskan usaha kau dan capai cita-cita kau. Ingat Sya, walaupun kita tak kaya dengan harta, tapi sekarang kalau kita kaya dengan ilmu pengetahuan, orang tak akan pandang rendah kat kita. Ingat.” Nasihat Balqis.

  Setelah memberi nasihat, Balqis pergi meninggalkan aku. Aku tahu Balqis tak mahu aku terus hanyut dengan perasaan yang bakal membunuhku ini.  Tetapi aku akan sentiasa berdoa agar aku akan dapat melenyapkan Reza dari diari hidupku dan melupakan semua kejadian pahit yang menimpaku termasuklah kenyataan yang aku mesti terima, teman baik ku dulu sedang bersama dengan lelaki yang paling aku sayang. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaanku pabila kawan baik sendiri telah merampas kebahagiaanku.

******

Aisya bersimpuh di hadapan pak Wahid dan mak Hasnah di ruang tamu. Lincah tangannya menuang kopi ke dalam cawan. Asap nipis bebas menjalar di hadapan ibu dan ayahnya.

  “ Ayah, ibu… jemput minum.” Aisya mengambil tempat di sisi ibunya.

  Beberapa detik kemudian, cawan sudah berada di bibir pak Wahid. Lelaki itu menghirup kopi setelah membaca bismillah. Pak Wahid mempamerkan senyuman di bibir lebamnya sebagai tanda kopi itu memenuhi cita rasanya. Lirikan manja jatuh pada isterinya yang turut tersenyum riang.

  Satu desahan terpacul lemah daripada bibir merah gadis itu sehingga mematikan senyuman di bibir pak Wahid dan mak Hasnah. Mereka mula rasa tidak senang hati. Takut apa yang berlaku pada Aisya beberapa bulan yang lepas berulang semula.

  “ Kenapa Aisya? Aisya ada masalah? Cakaplah.” ibunya sedikit mendesak. Entah mengapa dadanya berdetak kencang. Raut redup wajah Aisya bagai memberitahu sesuatu perkara.

  “ Aisya dah ambil keputusan untuk sambung belajar. Seminggu yang lepas Aisya dapat tawaran. Aisya dah uruskan segala dokumennya tiga hari yang lepas.” Dia teragak-agak untuk menyuarakan hasratnya itu. Tidak ingin melihat kedua orang tuanya terluka mahupun menitiskan air mata.

     “ Sambung belajar? Kat mana?” tanya mak Hasnah tidak sabar sambil matanya mengerling pak Wahid. Ada riak terkejut pada wajah suaminya.

  “ Universiti Malaya, Kuala Lumpur.”

  “ Berapa lama?” pak Wahid melontarkan pertanyaan  berikutnya. Ada nada gusar di hujung suara tua itu.

  Aisya menyedari situasi itu. “ Lima tahun,” ujarnya serba salah. Rasa berat hatinya untuk meninggalkan kedua orang tuanya.

  “ Lama jugak tu. Tapi… Mana Aisya dapat duit nak sambung belajar?” Teragak-agak ibunya bertanya. Dia dipaut rasa curiga.

  “Ibu dan ayah tak perlu risau, Aisya ada duit simpanan sikit. Tapi, kalau tak cukup jugak, masa kat sana Aisya boleh kerja sambilan.

  Pak Wahid dan mak Hasnah berpandang sesama sendiri dan mengangguk lalu tersenyum.

  “ Alhamdulillah. Akhirnya anak ibu kembali bangkit untuk memajukan diri. Baguslah nak, pergilah belajar. Ibu bangga dengan kamu, kamu mampu bangun setelah jatuh ditimpa tangga.” tutur mak Hasnah nampak tenang biar jauh disudut hatinya menyimpan seribu kesedihan.

  “ Kalau Aisya perlukan apa-apa, telefon ayah, jangan senyap je,” ujar pak Wahid. Aisya hanya mengangguk.

  “ Yang awak ni senyap aje, kenapa?” pak Wahid memandang isterinya tanpa berkelip.

“ Saya sedihlah bang nak berpisah dengan Aisya. Sunyilah rumah ni.” Suara itu perlahan seperti tidak rela hendak keluar. Dia menghela nafas menahan sebak. Tiba-tiba dadanya dilanda hiba.

  “ Ibu jangan cakap macam tu. Aisya janji akan sentiasa ingat ibu dan ayah,” ucap Aisya sambil menggengam jemari ibunya.

  Mak Hasnah menarik nafas lega dan mengukir senyuman manis. Perasaan sedih yang bertamu tadi dibuang jauh-jauh. Semoga niat anak gadisnya untuk sambung belajar diberkati oleh Allah S.W.T.

******

Biarpun kelihatan tenang dan di bibir terukir senyuman, namun kesedihan jelas terukir di wajah Aisya. Pak Wahid sibuk mengangkat beg ke dalam boot teksi Lambat-lambat Aisya menghampiri  mak Hasnah dan Balqis. Tubuhnya sudah berada di dalam pelukan ibunya. Kedengaran esakan kecil terpancul daripada bibir perempuan itu.

   “ Aisya jaga diri baik-baik. Jangan lupa telefon ibu.” 

   Dia sudah kehilangan kata untuk menjawab. Aisya melepaskan pelukan ibunya sambil mencium tangan orang tua itu. Sejurus itu, ia pergi mendapatkan Balqis dan memeluknya.

  “ Tolong jagakan ibu dan ayah aku bila aku tak ada nanti.”

  “ Kau jangan risau, ibu dan ayah kau tu aku dah anggap macam ibu bapa aku sendiri. Aku akan jaga mereka.” jawab Balqis bersama esakan kecil. Balqis seorang anak yatim piatu, dia telah diambil sebagai anak angkat sejak dari kecil kerana hidupnya sebatang kara.

  “ Aisya pergi dulu, ayah…” ujar Aisya lalu mencium tangan ayahnya penuh kasih.

  “ Baiklah, jaga diri kamu baik-baik.  Ini ada duit sedikit untuk kamu. Kalau ada masalah atau kekurangan duit, telefon  ayah atau ibu.” pesan pak Wahid sambil menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepada Aisya.

   Pesanan yang amat mengharukan Aisya. Matanya berkaca-kaca menahan sebak. Segera dia berganjak dan menaiki teksi. Mereka membalas lambaian sebagai tanda perpisahan . Teksi yang membawa Aisya semakin jauh dan jauh meninggalkan mereka. Yang tinggal hanya kenangan dalam jiwa masing-masing

******

   Hari pertama pendaftaran tanpa kedua ibu bapa membuatkan Aisya tabah. Dia cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru serta rakan sebilik yang baik. Mujurlah Aisya dapat sebilik dengan Sara, rakannya ketika di matrikulasi.

   Sedang dia menikmati pemandangan hijau di persekitaran universiti, Aisya disapa oleh satu suara. Awalnya, dia tidak menghiraukan teguran itu kerana yakin bukan untuknya. Lebih-lebih lagi ketika itu, pelajar berpusu-pusu tidak kira perempuan mahupun lelaki yang berbeza daripada segi rupa, kulit dan agama sedang melangkah ke perkarangan universiti. Namun, ucapan yang bertalu-talu menarik minatnya untuk memberi tumpuan pada suara itu.

  “ Assalamualaikum. Nak berkenalan dengan saudari boleh? Asal mana?” berturut-turut soalan itu diajukan dalam nada ceria di hujung suaranya.

   Aisya tersentak dan melirikkan matanya pada seorang pemuda yang tinggi lampai dan berkulit hitam manis di hadapannya. Kian yakin bahawa ucapan itu memang diajukan khas kepada dirinya. Soalan yang diajukan langsung tidak dijawab. Bagi Aisya cukuplah hatinya disakiti sekali oleh seorang lelaki bernama Reza.

   Aisya masih lagi teringat akan pergaduhannya dengan Reza dan Azleen semasa dia dan Balqis keluar ke bandar untuk membeli barang keperluannya. Aisya secara tidak sengaja terlanggar bahu Reza dan dia dihina sekali lagi.

  “ Woi!! Main langgar je, tak nampak ke!!” marah lelaki yang dilanggar Aisya dengan nada yang tinggi. Perempuan disebelahnya yang disebelahnya turut merungut.

  “ Maaf bang, saya tidak sengaja.” Mohon maaf Aisya secara spontan. Tanpa disedarinya, lelaki yang dilanggarnya itu adalah lelaki yang telah melukakan hatinya dulu.

  “ Oh, kau rupanya. Aku ingat kau dah mati terjun bangunan lepas aku maki kau dulu. Hidup lagi rupanya. Kenapa lah kau tak mati kan.” perli Reza bersama tawanya yang tersisa.

  “ Wah sedapnya mulut kau kan Reza. Bukan Aisya yang patut mati, tapi kau. Aku hairanlah, kenapalah Allah masih izinkan kau hidup kat dunia ni lagi.. Oh, aku lupa pulak, maybe God wants you to repent and go back to the truth. Maklumlah, orang banyak buat dosa. Aku rasa lebih baik kau taubatlah Reza, jangan buat orang doakan yang bukan-bukan pasal kau… nanti kalau tak dapat kemaafan dari orang tu, susah kau nak mati. Harap je kaya dan berpelajaran tinggi, tapi sayang otak kau letak dekat lutut. Ops, sorry, terlepas cakap. ” Balas Balqis yang sudah lama hilang sabar dengan sikap Reza. Mentalitinya yang mementingkan darjat dan kedudukan membuatkan Balqis membencinya.  

   “ Hei, kenapa kau nak marah Reza? Kawan kau tu yang salah, memang patutlah Reza marah. Jalan tak pakai mata.” Marah Azleen.

  “ Kau diamlah perempuan, menyampuk je. Aku tampar baru tahu, kau tu sedar sikit… kawan tak guna, rampas kebahagiaan kawan sendiri. Sekarang kau bahagia lah, nanti suatu hari ada balasannya. Kesiankan mak ayah kau dapat anak macam kau berdua. Ops! Sorry again, tak sengaja pulak. Hahaha… Jomlah Sya, panas pulak kat sini. Macam ada syaitan je.” sambung Balqis lalu menarik tangan Aisya pergi dari situ dan melanggar bahu Azleen dengan sengaja sehingga wanita itu terjatuh.

   Tiba-tiba lamunannya mati kerana terkejut dengan panggilan lelaki tadi.

  “ Kenapa termenung? Nama awak siapa? Ambil jurusan apa di sini?” sekali lagi lelaki itu bertanya soalan yang sememangnya dia sudah mempunyai jawapan. Niatnya adalah ingin berkenalan dengan Aisya dengan lebih dekat setelah sebulan memerhatikan gadis itu.

  “ Maaf, saya tak kenal awak. Saya pergi dulu.” Jawab Aisya dan terus beredar dari situ. Belum sempat meninggalkan tempat itu, telinganya dapat menangkap rungutan pemuda itu biarpun agak rendah dan sinis nadanya.

  “ Saudari, kita ni sama-sama belajar. Jadi janganlah sombong sangat. Nanti tak ada kawan, awak juga yang susah.” Sengaja dia melontarkan ayat tersebut kerana ingin memancing kemarahan gadis idamannya itu.

  Jengkel telinga Aisya menerima terpaan kata-kata sinis pemuda itu. Ucapan yang terpancul daripada lidah pemuda itu membuatkan dia berasa marah.

   “ Waalaikumusalam,” balas Aisya ringkas.

   “ Macam tu lah. Nama saya Muhd Aiman Irshad. Saya dari Kulai, Johor dan pelajar perubatan. Awak?” Ujar Aiman tanpa ditanya Aisya.

   Tak tanya pun, kenapalah dia boleh ada dekat sini. Dah tahu nama aku dan jurusan aku tapi masih sibuk tanya. Ada je orang macam ni dalam dunia ni... bisik hati Aisya.

   “ Ohh, saya Nur Aisya Sofia. Pelajar perubatan juga. Saya dari Taman Johor Jaya, Johor. Puas hati?”

   “ Nama seindah tuannya. Cantik dan ayu. Jom lunch dengan saya?” Aiman mengajaknya.

   “ Saya nak balik rumah,” jawab Aisya. Dia ingin melarikan diri dari pemuda itu secepat mungkin.

   “ Saya hantar awak nanti. Sekarang kita pergi makan dulu, saya belum makan  lagi ni.” Aiman menatap wajah Aisya. Aiman telah memerhatikan Aisya sejak dari tadi lagi, hatinya begitu memaksa untuk mengenali dan meluangkan masanya bersama gadis berlesung pipit ini.

  “ Saya tak kenal awak. Tak kan lah saya nak keluar lunch dengan awak. And one more things, you are not my boyfriend or my fiancée not my husband and you can’t force me!” Marah Aisya sambil matanya buntang memandang Aiman. 

   Dia ingat aku ni perempuan apa, sesuka hati nak ajak keluar. Ingat muka hensem aku terpikatlah. Pijak muka kau tu baru tahu. Rungut Aisya dalam hati.

   “ Memang saya bukan boyfriend awak atau tunang awak, tapi saya boleh jadi semuanya masa kita tengah belajar ni, kan?” Jawab Aiman bersahaja sambil menggangkat kedua-kedua belah keningnya.

  Aisya memandang Aiman dengan perasaan yang tidak puas hati. Rasa hendak ditelannya pemuda yang terlalu berani berkata-kata seperti itu.

   “ Okey. Kalau awak tak nak takpe. Kita keluar lain kali. Boleh saya…” belum sempat Aiman menghabiskan kata-katanya  Aisya sudah melarikan diri. “Aik, hilang dah.” Aiman tidak risau kerana gadis itu satu fakulti dengannya dan mereka akan bertemu bila-bila masa sahaja.

Akhirnya Aisya dapat melepaskan diri dari Aiman. Ya Allah, nasib baik tak masuk perangkap laki tu. Tiba saja di rumah Aisya terhidu sesuatu yang sangat menyelerakan. Dia menapak ke dapur dan terlihat Sara sibuk menyediakan hidangan tengah hari.

   “ Kau masak ape? Sedap je bau ni…” sergah Aisya.

   “ Eh, bila masa kau masuk rumah? Aku tak dengar orang bagi salam pun… terkejut aku… ni masak ikan patin lemak cili api.”

Aisya terdiam seketika… ikan patin lemak cili api ialah lauk kegemaran Reza. Pernah sekali Reza menyuruh Aisya masakan untuknya, tetapi Aisya tidak sempat. Reza merajuk lama sehinggalah Aisya memasakan lauk itu. Reza berhenti rajuknya apabila selesai menikmati lauk kegemarannya dan mengugut Aisya jika lain kali dia meminta lauk itu dan tidak dimasakan, dia akan merajuk berbulan-bulan. Kenangan manis bersama Reza terlalu banyak dan sukar untuk dihapuskan dari ingatannya.

   “ Kenapa kau hadir dalam hidup aku Reza.” Aisya bersuara perlahan lalu mengeluh.

   “ Kau cakap ape? Aku tak dengar. Kau tak suka ke lemak cili api yang aku masak ni…” tanya Sara dengan nada suara yang perlahan.

   “ Eh, takde apa-apalah... sape cakap aku tak suka, aku suka lah. Nanti makan malam biar aku yang masak pulak. Aku nak kau rasa masakan aku.” Jawab Aisya. Aisya hairan dengan sikapnya. Bibirnya mengatakan membenci Reza, tetapi hakikatnya hatinya tidak rela untuk melepaskan Reza. Walau apa pun yang terjadi, sekarang Reza bukan lagi miliknya. Reza sekarang sedang bahagia bersama Azleen. Teman yang disangka boleh membantu suatu hari nanti, tapi… harapkan pagar, pagar makan padi.

******

 

   Aisya keluar dari bilik kuliah bersama buku-bukunya yang ingin dibawa ke perpustakaan. Tiba-tiba dia dipanggil oleh Prof. Syafiq, pensyarahnya. Aisya segera menoleh.

   “ Ye prof, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Tanya Aisya.

   “ Saya ingat nak tukarkan ahli kumpulan awak, kan dah ada empat orang, saya nak tukarkan Syuhada kepada Aiman… Syuhada akan masuk ke kumpulan Rajesh, dan Aiman dari kumpulan Rajesh tukar ke kumpulan awk.” Jelas Prof. Syafiq yang agak mengejutkan Aisya. Aiman? Salah dengar ke aku… ke prof salah sebut nama…

   “ Aiman? Kenape dia prof? Biarlah Syuhada dalam kumpulan saya…”

   “ Begini, satu kumpulan mesti ada dua perempuan, dua lelaki. Jadi, kumpulan awak ada tiga perempuan, saya tukarkan Syuhada dengan Aiman, ya?” jelas prof. Syafiq. Aisya terpaksa bersetuju dengan keputusan pensyarahnya. Dia tahu bukan kerana ahli kumpulan perempuan atau lelaki, tapi kerna Aiman. Ini mesti kerja mamat senget tu! Sengaja menyuruh prof tukarkan dia ke dalam kumpulan aku, siap kau aku dera! Bisik Aisya di dalam hati.

   Di dalam perpustakaan Aisya duduk sendirian, ingin pulang ke rumah pun tiada sesiapa. Sara pulang ke kampung selama seminggu kerana ibunya sakit. Seminggu ini dia akan kesepian tanpa gurauan Sara dan juga telatahnya yang seperti kanak-kanak. Tiba-tiba seseorang datang menyapanya…

   “ Hai… buat apa tu? Boleh saya tolong?” tegur Aiman bersama senyumannya yang sungguh memikat hati sesiapa saja yang melihat. Tetapi tidak Aisya, dia sudah masak dengan perangai Aiman yang cuba memikatnya sejak enam bulan lalu. Macam-macam yang dilakukan oleh Aiman untuk menambat hatinya tetapi tidak berjaya.

   “ Tengah baiki moto ni… nak tolong ke?” jawab Aisya yang malas hendak layan.

   “ Wow! Seorang pelajar medic ingin membaiki sebuah moto? Hebatnye… cik Aisya, kita ni bakal doktor, bukan mekanik… hurm… kita kan satu kumpulan, jadi, biar saya bantu, ye…” balas Aiman yang telah menukarkan warna wajah Aisya menjadi merah padam kerana terlalu geram dengan sikap Aiman yang sahaja.

   “ Mana tau kita satu group? Ni mesti kerja awak kan, sengaja suruh prof tukar kumpulan. Mentang-mentang baik dengan prof, ambil kesempatan…” marah Aisya.

   “ Eh, bukan lah… salah tu, saya just cakap yang saya tak sanggup tengok awak nanti buat kerja sorang-sorang, lagipun Aqmal pun satu kumpulan dengan awak. Nanti kalau awak kena kacau dengan dia macam mana… cemburu tahu tak saya, nanti melepas pulak nk dapatkan awak. Takkan saya nak biarkan.” Jelas Aiman. Aqmal seorang mahasiswa yang pandai dan kacak, wajah dia seakan-akan pelakon korea. Maklumlah anak darah campur, ayahnya melayu manakala ibunya seorang mualaf cina.

   “ Biarlah, lagi bagus Aqmal satu kumpulan dengan saya daripada awak. He smart and handsome you know… dahlah tepi, saya nak buat kerja. Sibuk je…” malas Aisya hendak melayan karenah Aiman.

   “ Takpelah… saya balik dulu, baik-baik dekat sini…” Aiman pergi meninggalkan Aisya. Dia kecil hati dengan sikap Aisya yang tidak pernah mengendahkan dan menghargai kehadirannya. Memanglah dia bukan seseorang yang istimewa pada Aisya, tetapi mustahil jika Aisya tidak mengetahui tentang perasaannya.

Setelah beberapa minit Aiman pergi Aisya diselubungi rasa bersalah. Dia tidak pernah beri Aiman peluang untuk mendekatinya. “ Buat apa nak bagi peluang, kau bukan sayang kat dia pun. Lelaki dalam dunia ni semua sama Aisya, tak guna. Jangan percaya lelaki lagi.” Bisikan di telinga Aisya mematikan niatnya untuk memujuk Aiman. Biar jelah, nanti dia baik lah tu… tak lama nanti kacau aku balik. Fikir Aisya.

******

Aisya tiba di rumah pada tepat pukul empat petang. Dia dan Aiman disambut baik oleh ibu dan bapa Aisya dan juga Balqis. Mereka berbual panjang mengenai majlis perkahwinan mereka yang bakal menjelang. Siapa sangka lelaki yang menjengkelkan seperti Aiman bakal menjadi suaminya. Persiapan Aisya telah disiapkan sesuai dengan permintaannya dan persiapan Aiman disediakan oleh keluarganya. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi enjin kereta. Sejurus selepas itu, kedengaran suara memberi salam.

   “ Siapa pulak yang datang ni?” lambat-lambat kaki Balqis menuju ke pintu untuk melihat tetamu yang datang. Muka yang berada di hadapan Balqis membuatnya menjadi marah.

   “ Buat apa kau datang ke sini? Nak sakitkan hati Aisya lagi! Berambus kau!” bentak Balqis.

  Ketika itu semua penghuni rumah itu terdiam dan bangun untuk melihat siapa yang datang sehingga dibentak Balqis.

   “ Reza?” soal Aisya.

   Pertama kali Aiman bersua dengan Reza Naqiuddin Bin Dato Ziqri, bekas tunang Aisya yang diceritakan Sara dahulu. Dialah yang telah menghancurkan hati Aisya suatu ketika dulu dan dia takkan benarkan perkara itu berlaku lagi kerna Aisya bakal menjadi miliknya.

   “ Aisya, maafkan saya. Maafkan semua kesalahan yang saya pernah lakukan dulu. Saya harap awak boleh terima saya kembali. Kita mulakan dari awal.” Rayu Reza. Dia mengharapkan Aisya kembali ke pangkuannya semula.

   “ Amboi sedapnya kau mengungkapkan lafaz maaf lepas tu nak get back. Kau ingat kawan aku ni apa, tisu? Bila nak guna kau ambil, bila tak nak kau buang. Macam tu ke?!” kemarahan Balqis semakin meluap-luap. Apa yang Reza lakukan kepada Aisya tujuh tahun dulu masih terpahat di ingatannya.

  “ Qis, maafkan aku. Aku menyesal, Azleen dah tinggalkan aku. Aku dah dapat balasannya sekarang. Lama aku cari Aisya, aku selalu perhatikan dia dekat university. Tolong maafkan saya Sya.” Rayu Reza lagi.

   “ Ohh, Azleen dah tinggalkan kau? Baguslah, biar kau rasa macam mana Aisya rasa dulu. Inilah balasannya bagi orang yang suka melukakan hati…” belum sempat Balqis menghabiskan ayatnya Aisya sudah mencelah.

   “ Sudahlah Qis, aku dah lama maafkan dia” celah Aisya. Kedua-dua ibu bapa Aisya dan Aiman hanya mampu diam.

   “ Sya, kau ni kan. Senang-senang je kau maafkan dia. Kau ingat tak apa yang dia buat kat kau dulu?” marah Balqis.

   “ Aku tak pernah lupa Qis. Tapi kita kenalah maafkan dia, dia kan dah minta maaf.”

   “ Terima kasih Sya, saya masih sayang kat awak. Bolehkan awak terima saya kembali?” soal Reza.

   “ Maaf Reza, saya akan berkahwin tidak lama lagi. Saya kenalkan Muhd Aiman Irshad, jejaka yang telah merawat luka dihati saya dan dialah bakal suami saya.” Jawab Aisya sambil memperkenalkan Aiman kepada Reza.

   Jawapan yang Aisya beri telah menghancurkan harapan Reza. Dia berharap agar dapat bersama Aisya semula dan membina sebuah hubungan yang bahagia, tetapi andaiannya meleset jauh.

   “ Sudahlah Reza, Aisya dah nak berkahwin. Kau balik jelah, lupakan niat dan harapan kau untuk memiliki Aisya semula. Peluang yang Allah beri hanya sekali. Padan muka kau.” Ujar Balqis.

   “ Tak apalah, saya minta diri dulu. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Aisya dan Aiman. Aiman, tolong jaga Aisya baik-baik, ye. Aku akan doakan kamu berdua bahagia hingga ke anak cucu.” Ujar Reza sebelum meninggalkan perkarangan rumah Aisya. Dia diberi kad jemputan berwarna biru laut, warna kegemaran Aisya.

   Kini Reza menyesal yang teramat sangat. Tetapi apakan daya, wanita yang dulu pernah mencintainya sepenuh hati kini telah dimiliki orang lain dan tiada lagi peluang untuknya memiliki Aisya.

* * * * *

Setelah setahun diijab kabulkan, Aisya dan Aiman dikurniakan seorang cahaya mata. Majlis kesyukuran dan aqiqah Muhd Irfan Irshad telah berlangsung dengan meriah. Majlis itu diadakan ketika usianya empat puluh hari. Semua saudara-mara dan rakan-rakan Aiman dan Aisya turut dijemput ke majlis tersebut.

   Irfan yang dipakaikan sepasang baju Melayu biru kelihatan sungguh comel. Aiman bangga dengan puteranya itu. Kegembiraan bertambah bila melihat isterinya sentiasa tersenyum riang sambil mendukung Irfan.

   Aiman segera memeluk bahu isterinya dengan penuh kasih sayang. Dipimpin tangan isterinya lalu berjalan mendapatkan keluarga dan tetamu mereka.

   Sesungguhnya ya Allah, Engkau telah kurniakan aku dengan kebahagiaan ini, semoga ia berkekalan.

   “ Nur Aisya Sofia, terima kasih atas kebahagiaan ini…” bisik Aiman di telinga isterinya, yang menatap wajahnya dengan perasaan penuh cinta dan kasih yang tulus dan luhur. Kesusahan untuk mendapatkan Aisya dahulu rupanya menjanjikan kebahagiaannya sekarang.

   Mereka bertatapan dan saling berbalas senyuman seketika lalu berjalan masuk ke ruang tamu untuk menyertai kemeriahan yang sedang mewarnai rumah keluarga Aiman ketika itu.

   Kini Aisya tahu siapa cinta sejatinya dan hatinya milik siapa. Reza adalah pelangi hatiku. Mendamaikan jiwaku suatu ketika dulu. Singgah sebentar di hati ini dan kemudian hilang ditelan matahari.

   Tapi kau Aiman… kau adalah udaraku, hembusan nafasku. Tiap hembusanku terukir namamu, tanpamu aku mati… tidak mungkin aku dapat berdiri di muka bumi ini.

   Terima kasih cinta, Engkau telah menyedarkan diriku bahawa cinta bukan segala-galanya. Sayangku kepada Reza hanya sementara dan hilang dihakis dek masa. Tetapi perasaan benciku kepada Aiman berubah menjadi sebuah cinta sejati yang akan berkekalan biar dihakis dek berjuta tahun.

   Cinta menyedarkan Aisya erti kehidupan dan dia perlu bangun semula setelah jatuh kerana kecewa dengan sebuah cinta. Kini setiap denyutan nadi Aisya terselit rasa cintanya buat jejaka yang bernama Muhd Aiman Irshad. Inilah takdir Allah s.w.t buatku, takdir cinta kita hanya Dia yang tahu. Yang dikejar belum tentu dimiliki, yang dibuang kekal dihati.

 

-TAMAT-

 

 

 

kacamata kita

30 Jan, 2015, No comments
Lihat apa kacamata kita pakai hari ini. Jika kacamata mencari kesilapan, maka itu kita nampak dan akan buta kepada semua kebaikan di depan mata kita. Mula cari kesilapan kita dan betulkan diri hingga tiada tenaga untuk melihat kesilapan orang lain. Lihat keluarga kita dan jangan sekali-kali bajet bagus dan rasa kita lebih baik daripada orang lain. Setiap kali kita komen orang lain, lihat sama ada kita ada ataupun tidak sifat ini dan banyakkan istighfar. Lihat apa yang kita lihat setiap hari. Jika keburukan, itulah diri kita hari ini dan esok hari atau mungkin selamanya.

Tegurlah mereka

30 Jan, 2015, No comments

Ibn Khuzaimah bercerita: "Aku bersama Amir Ismail bin Ahmad pada suatu hari. Beliau meriwayatkan sebuah hadis dan tersalah menyebut sanadnya. Aku pun menegur dan memperbetulkannya.

Apabila keluar daripada majlisnya, Abu Zar al-Qadi berkata kepadaku: "Sejak dua puluh tahun kami tahu hadis itu salah, tetapi kami tidak berani menegur Amir."

Ibn Khuzaimah berkata: "Tidak halal begiku mendengar kesalahan dalam hadis Nabi, namun aku tidak menegurnya."

Recent Posts

  • Teks Pengucapan Awam - Penerokaan Khazanah Hutan Negara Antara Laba dan Bala
    22 Apr, 2015
  • "EGO"
    7 Apr, 2015
  • Buat seorang insan
    7 Apr, 2015
  • Buat seorang insan
    22 Feb, 2015
  • Nikmat Tangisan
    31 Jan, 2015
  • Takdir Cinta Kita (cerpen)
    30 Jan, 2015
  • kacamata kita
    30 Jan, 2015
Created with Mozello - the world's easiest to use website builder.

Create your website or online store with Mozello

Quickly, easily, without programming.

Report abuse Learn more